jump to navigation

Jangan sampai hilang maksudmu… June 28, 2008

Posted by toksiak in tarbiyah, tazkirah.
Tags: , , ,
trackback

Pen akan hilang maksudnya, bila tidak berdakwat

dan begitu jualah manusia…

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

( Surah Adh-Dhariyat : 56 )

Tidak sangka sekali, kuliah maghrib yang ringkas pada malam itu telah membuatkan saya melihat hidup dengan pandangan yang berbeza. SubhanAllah, segala pujian untukMu ya Allah. Sesungguhnya Engkau lah pemilik mutlak segala ilmu di alam ini. Kesyukuran tidak terhingga ku panjatkan kepadaMu ya Allah, atas keizinan untuk merasai kehebatan ilmuMu.

Berbeza dengan pengisian-pengisian yang pernah saya ikuti sebelum ini, apa yang saya pelajari malam itu merupakan mukadimah kepada sesuatu yang lebih besar. Maksud MANUSIA…

Apa yang anda semua maksudkan dengan MANUSIA?

hamba Allah, khalifah, pentadbir alam, penegak kalimah Lailahaillallah, pelaksana amar maaruf nahi munkar… begitu banyak sekali huraiannya. Dan semuanya benar belaka.

Saya seorang Muslim, dan apa erti saya menganut Islam?

Islam : tunduk dan patuh kepada Allah SWT

Muslim : mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT

MUSLIM = MANUSIA = KITA

Saya rasa sudah cukup jika saya letakkan maksud manusia sebagai mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT kerana semua jawapan di atas tadi ada di dalam frasa ” tunduk dan patuh kepada Allah SWT “.

Manusia membawa maksud yang sebenarnya sama sahaja dengan ciptaan Allah SWT yang lain. Semuanya pun tunduk dan patuh kepada Allah, dari planet yang berputar, siang dan malam yang berganti sehinggalah darah yang mengalir di dalam diri ini. Semuanya berfungsi mengikut maksudnya, menurut segala peraturan dan perintah Allah. Tidak ada suatu masa, yang planet akan berubah orbitnya melainkan atas keizinanNya. Cuma yang membezakan antara manusia dan ciptaan lain, ialah nikmat untuk membuat pilihan. Di sinilah, pilihan inilah yang dapat merealisasikan maksud atau menidakkan maksud MANUSIA itu sendiri.

Perspektif saya berubah, mengingatkan sejauh mana kita meletakkan diri kita dalam maksud itu. Andai kata, saya meletakkan MANUSIA sebagai seorang pembawa risalah Islam, sejauh mana usaha ke arah mendekatkan orang pada Islam? Andai kata saya meletakkan MANUSIA sebagai pentadbir alam, sejauh mana usaha untuk memastikan alam ini sesuai untuk generasi seterusnya? Aduh, sampah pun malas nak asingkan, astaghfirullah.

Dan saya sedar yang setiap detik, setiap saat, setiap langkah saya merupakan perjalanan dalam memikul maksud sebenar MANUSIA. Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, jadi kenapa kita yang mensia-siakan kehebatan ciptaanNya?

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

( Surah Al-Anaam : 162 )

Jangan sampai hilang maksudmu… jangan jadi seperti pen yang tiada dakwatnya…

Allah Akbar !

Comments»

No comments yet — be the first.