Antara AOC dan ABC : Praktikaliti Keimanan kepada Qada’ dan Qadr June 17, 2008
Posted by toksiak in tarbiyah, tazkirah.Tags: dakwah, iman, tazkirah
trackback
Hadeeth of Jabir : ‘ No slave of Allah will truly believe until he believes in Al-Qadr, is good and bad from Allah, until he knows that what has befallen him was not going to miss him and that what missed him was not going to befallen him. [ Tirmidhi ]
Sebagai seorang Muslim yang Mukmin, keyakinan kepada Qada’ dan Qadr merupakan antara 6 pelengkap rukun Iman yang wajid diimani oleh setiap Mukmin. Kita sebagai Ahl Sunnah Wal Jamaah, percaya yang Allah SWT mentakdirkan segala-galanya dan Allah jualah yang menciptakan perbuatan manusia berbentuk ikhtiar yakni telah ditakdirkan ke atas diri setiap manusia itu keupayaan untuk memilih. Sesungguhnya mereka yang beriman sepenuhnya dengan rukun Iman yang pertama iaitu BERIMAN KEPADA ALLAH pasti tidak akan ada sebarang masalah untuk BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR ALLAH, kerana rukun iman keenam inilah yang dapat menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah.

Saya tidak akan sentuh secara terperinci tentang perbincangan Qada’ dan Qadr ini, cukuplah sekadar muqadimah sahaja. Risau akan perbincangan yang akan membawa kepada kekeliruan.
Tetapi apa yang ingin saya kongsi bersama sahabat semua ialah tentang praktikaliti beriman dengan Qada’ dan Qadr itu sendiri.
Kita merancang, Allah yang menentukan…
Saya yakin semua biasa dengan pernyataan di atas.
Kita merancang, Allah jua merancang. Malah Allah SWT Maha Mengetahui dan telah merancang lama lagi sebelum kita mula merancang. Dan segala keputusan serta pemilihan kita adalah di dalam lingkungan keizinan-Nya. Allah Maha Bijaksana yang mengetahui apa yang tidak diketahui manusia.

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu. ( Surah At-Talaq : 12 )
![]()
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya). ( Surah Al-Insan : 30 )
Sabda Rasulullah SAW
Allah had written the ordained measures ( and due proportions ) of the creation, fifty thousand years before the creation of the heavens and the earth and His ‘Arasy was on the water.
[ Muslim ]
Jadi apa kaitannya dengan tajuk entry ini?
Hakikatnya, segala perkara di muka bumi Allah SWT telah diciptakan dan terbahagi kepada dua : ABC ( area beyond control ) dan AOC ( area of control )
ABC : area beyond control
Kita mulakan dengan satu contoh yang senang : EXAM
Apa ABC kita dalam perkara exam ini? Keputusan exam itu sendiri. Benar atau tidak?
Sama-sama kita fikirkan, keputusan exam itu bukanlah terletak pada pilihan kita. Markah terakhir samada kita lulus cemerlang atau tidak, gagal atau sebagainya bukan terletak di atas pilihan dan tangan kita. Logik akal menyatakan cikgu yang akan memberi markah kepada kita. Logik iman meletakkan Allah SWT sebagai penetap segala ketentuan. Iya lah, jika cikgu kita ditenangkan hati oleh Allah, jawapan yang ringkas akan memberi markah yang banyak dan sebaliknya. Point di sini, ini ialah ABC kita.
AOC : area of control
Jadi apa AOC kita?
Di sinilah semua pilihan berada dalam tangan kita sendiri, samada hendak melakukannya atau tidak. Kita sendiri yang menentukan tindakan sekarang dan seterusnya. Berbalik kepada contoh exam itu tadi, AOC kita ialah usaha kita yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan result yang cemerlang. Kita diberi pilihan untuk belajar bersungguh-sungguh atau tidak. Kita ada pilihan untuk bertanya kawan-kawan, cikgu tentang apa yang kita tidak faham. Dan kita ada pilihan untuk berdoa dan bangun malam beribadah untuk memohon pertolongan daripada Allah. Semua ini berada dalam lingkungan apa yang kita mampu lakukan.
Kita perhatikan kedua-dua perkara di atas. Kedua-duanya melengkapi praktikaliti beriman dengan Qada’ dan Qadr. Usaha manusia sendiri yang berlaku mengikut sunnahtullah, dan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah ( mengikut syariatullah ) atas perkara-perkara yang tidak berada di dalam lingkungan kemampuan manusia. Cuba anda perhatikan, perkara ABC dan AOC berlaku setiap hari dalam kehidupan seharian kita.

Fokus utama kita – AOC
Tidak boleh dinafikan, kedua-dua ABC dan AOC perlu diberi perhatian. Tetapi untuk mencapai apa yang di dalam lingkungan ABC, kita perlu luaskan lingkungan AOC. Semakin banyak usaha AOC kita, semakin besar bulatan AOC dan semakin dekat kita dengan ABC. Tiada siapa yang menyangkal bahawa dengan belajar bersungguh-sungguh, selalu jumpa cikgu, bertanya rakan-rakan, membaca buku akan menjadi asbab kepada kejayaan kita dalam exam. Tambahan lagi dengan doa dan ibadah-ibadah sunat, mengoptimumkan lagi asbab bagi kejayaan kita. Manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh ke arah apa yang dia mahukan.

Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW ditakdirkan Allah tidak memeluk Islam sehingga ke hujung hayatnya. Ini tidak langsung memutuskan kesungguhan usaha dakwah Rasulullah ke atas bapa saudaranya kerana Baginda tahu yang sunnahtullah dan syariatullah perlu berjalan seiringan. Ini merupakan AOC Rasulullah SAW dalam penyampaian dakwah. Rasulullah akan mengambil setiap peluang yang ada demi meluaskan area of control Baginda. Baginda dan para sahabat Baginda telah dijanjikan syurga, namun usaha ibadah mereka tidak tertanding oleh kita. Mereka tahu, jalan menuju ketaqwaan ialah dengan kesungguhan amalan ibadah-ibadah dan pembersihan jiwa ( tazkiatun nafs ). Ini juga area of control kita sebagai hamba Allah SWT.
Teori Tauhid 200% ialah Sunnahtullah 100% + Syariatullah 100%
Manusia perlu bersungguh-sungguh di muka bumi. Doa dan menjaga hubungan kita dengan Allah juga merupakan usaha AOC, malah inilah yang menampung usaha-usaha luaran kita yang lain. Sebagai seorang Muslim yang Mukmin, kita kena yakin yang semua perkara yang berlaku di langit dan bumi ini, adalah dengan izin-Nya.
![]()
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. ( Surah At-Takweer : 29 )

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). ( Surah Al-Baqarah : 255 )
Sebagai contoh lain yang lebih besar : menegakkan negara Islam, menegakkan syiar Islam. Samada negara Islam atau syiar Islam itu akan tertegak atau tidak, ini ialah area beyond control. Jadi apa area of control kita?
Untuk mencapai ABC ini, banyak yang boleh kita buat di dalam lingkungan kemampuan kita : dakwah, undi pilihanraya, penulisan blog, tarbiyyah dan sebagainya.
Saya ambil pula contoh undi pilihanraya, apa yang mampu dikawal oleh kita ialah undian kita sendiri. Undian orang lain merupakan ABC kita. Kita tiada kawalan ke atas undi orang lain. Jadi untuk mendapatkan undian orang lain, AOCnya ialah dakwah, kempen dan macam-macam cara lagi. Dakwah pula mengikut konteks situasi semasa, antara jalan yang senang ialah melalui usrah. Terutamanya bagi naqib dan naqibah, penggerak usrah di kawasan masing-masing, anda mempunyai pilihan dalam melaksanakan usrah anda. Anda boleh menetapkan samada hendak menjadikan usrah itu best atau tidak, hendak memantapkan usrah anda atau tidak. Anda mampu menetapkan hendak buat seminggu sekali atau sebulan sekali. Anda mampu menetapkan jumlah bilangan anak usrah anda. Anda mampu menetapkan skop sasaran usrah anda untuk semua atau segelintir sahaja. Anda hendak menjadikan usrah anda menarik atau boring, semua terletak pada pilihan anda.
Begitu jugalah bila memikirkan tentang ajal. Terlalu memikirkan tentang kematian yang merupakan area beyond control boleh membuatkan seseorang itu menjadi gila ! Bagaimana? Kita akan sentiasa takut untuk melakukan pelbagai perkara contohnya, takut hendak melintas jalan, kerana memikirkan yang kereta boleh melanggar kita. Takut untuk naik turun tangga, kerana risau jatuh tergolek di tangga dan meninggal dunia. Seharusnya kita fokus kepada area of control kita yang mana kita usahakan sehabis baik bersedia untuk kematian itu sendiri. Kita diberi pilihan untuk membuat amal kebaikan atau amal kejahatan. Kita diberi masa dan pilihan samada hendak menyiapkan diri atau tidak.
Batas manusia yang tidak mengetahui apa yang di hadapan dan di belakangnya, memerlukan manusia untuk berusaha demi melihat apa yang mereka mahukan. Muqadimah akan menentukan natijahnya.
Percaya sebelum melihat, bekerja keras untuk melihat apa yang dipercayai. Allah Akbar !
Wallahu’alam
qada+qadar
comment